Sunday, 18 December 2011

IBRAHIM KEKASIH ALLAH DENGAN BERHALA-BERHALA.

BERHALA, BERHALA, BERHALA........
   
     Nabi Ibrahim melihat kaumnya mengukir berhala dan patung daripada kayu dan batu. Berhala-berhala itu menjadi tuhan kepada mereka, tuhan itu dipuja, disembah, dan dimintakan daripadanya berbagai-bagai permintaan. Patung-patung berhala yang bermacam-macam bentuk itu terdapat di tiap-tiap rumah. Nabi Ibrahim berkata didalam hatinya:....
    " Hairan..!!...Kenapalah kaum ku menyembah kayu dan batu..? yang mereka bentuk dan ukir dengan tangan sendiri, sedangkan kayu dan batu itu tidak memberi manafaat dan tidak pula berdaya menolak kemudharatan.."
    " Sayang..!..Kaum ku ini telah sesat didalam kesesatan..!! "
    " Sayang..!  Mereka berakal fikiran, tetapi akal fikiran itu telah terpesong jauh dari kebenaran..!! "


INILAH TUHAN KU.
    Nabi Ibrahim walaupun masih muda remaja namun dia telah tahu bahawa menyembah berhala adalah salah dan satu perbuatan yang amat bodoh, tetapi dia sendiri tertanya-tanya siapakah tuhan yang telah menjadikan langit dan bumi ini ?
    Dengan sebab ini, maka Nabi Ibrahim selalulah duduk bersendirian, mendongak-dongak kelangit sambil mencari ilham dan jawapan siapakah tuhan yang sebenarnya, tuhan yang yang mesti disembah oleh manusia.
    Apabila tiba waktu malam, Nabi Ibrahim mendongak kelangit, dilihatnya bintang-bintang bercahaya bergemerlapan, berkelip-kelip dimuka langit seolah-olah dialah yang maha hebat lagi berkuasa.
    Nabi Ibrahim berkata: " Inilah Tuhanku." Namun seketika kemudian bintang-bintang menjadi malap, bintang-bintang tadi hilang dari pandangan mata kasar. Nabi Ibrahim lalu berkata: " Oh tidak..!! ini bukan Tuhanku, Tuhan ku mesti kekal tidak malap dan tidak hilang."
    Begitu pula, apabila Nabi Ibrahim melihat bulan terang mengambang, ia amat terpesona dengan cahaya bulan yang terang dan sangat indah itu. Ia berkata: " Inilah Tuhan ku..!! " Sebagaimana juga bintang, bulan yang terang tadi bertukar menjadi malap, tiada lagi cahaya yang indah kerana dilindungi awan tebal. Berkatalah Nabi Ibrahim didalam hatinya:.." Oh tidak..!! Ini juga bukan tuhan ku. Tuhan tidak boleh dikuasai oleh sesuatu yang lain...!!"
    Sehinggalah terbit waktu fajar dan matahari mula menyinsing naik menegak menuju ke tengah pusat langit. Dengan cahaya panasnya yang memancar gagah menembusi awan gemawan, menerangi seluruh angkasaraya,
memancar keserata bumi. Melihat keadaan tersebut Nabi Ibrahim pun lalu berkata: " Inilah Tuhanku, Tuhan yang Agung dan Perkasa." Namun....Nabi Ibrahim mula merasa hampa apabila menjelang petang, matahari yang panas dan gagah tadi mulai redup, perlahan-lahan condong dan menurun kearah barat, kepanasannya beransur hilang dan akhirnya cahaya terang  tadi bertukar menjadi gelap gelita. Berkatalah Nabi Ibrahim dengan rasa hampa dan sedih; " Tidak...ini bukan Tuhanku. Tuhan tidak lemah, Tuhan tidak akan malap dan redup, Tuhan tidak akan bertukar-tukar. "

NABI IBRAHIM MENASIHATI BAPANYA.
     Pada suatu hari Nabi Ibrahim melihat bapanya Aazar menyembah berhala. Nabi Ibrahim lalu berkata kepada bapanya: " Apakah batu dan patung ini mesti disembah ? Jawab bapanya: " kami menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami dahulu." Nabi Ibrahim berkata: " Kalau begitu kamu dan datuk nenek kamu yang terdahulu adalah didalam kesesatan yang sangat nyata. Tuhan yang sebenar ialah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, Tuhan yang menjadikan alam ini, Tuhan yang menjadikan sekelian manusia." Nabi Ibrahim berkata lagi kepada bapanya; " Wahai bapa ku, mengapalah kamu menyembah benda-benda yang tidak mendengar, tidal melihat, tidak boleh memberi apa-apa pun. Wahai bapaku, aku telah mendapat pengetahuan yang tidak diketahui orang, ikutlah aku nescaya aku akan membawa bapa kejalan yang benar. Janganlah bapaku mengikut Syaitan kerana Syaitan itu derhaka kepada Tuhan dan ia menyesatkan."
    Bapa Nabi Ibrahim sangat marah kepada Nabi Ibrahim kerana mencabar dan menghina tuhannya dihadapan kaumnya, kerana baginya tiada tuhan lain selain daripada berhala-berhala yang telah disembah sekian lama. Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya:
     TUHANKU >> Dia yang menjadikan aku, Dia yang memberi petunjuk kepada ku, Dia yang memberi rezki makan dan minum kepada ku. Apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkan. Tuhan ku yang mematikan aku, kemudian di hidupkanNya. KepadaNyalah aku memohon supaya diampunkan dosaku di hari kiamat.


PERISTIWA DIHARI RAYA.
   Maka tersebarlah berita diantara kaum-kaumnya bahawa Nabi Ibrahim memusuhi berhala, tidak percaya kepada berhala-berhala dan patung-patung yang menjadi tuhannya. Pada suatu hari raya, hari yang sangat dimuliakan dan dibesar-besarkan oleh kaumnya. Pada hari tersebut pergilah kaum Nabi Ibrahim ke rumah berhala yang dipenuhi patung-patung bermacam berntuk dan rupa. Mereka yang datang ada yang membawa persembahan, ada yang menyembelih kurban dan bermacam-macam perbuatan yang ditunjukkan semata-mata kerana memuja berhala-berhala itu. Ditengah-tengah berhala-behala itu diletakan sebuah berhala yang paling besar, ukirannya sangat cantik, diatas kepalanya dihiasi mahkota berupa tanduk yang ditatahkan dengan batu permata yang amat berharga. Berhala besar tersebut didudukkan diatas sebuah singgahsana yang diperbuat dari emas dan perak, di kiri dan kanannya diapit oleh berhala kecil yang kelihatan gagah perkasa dan garang seolah-olah itulah hulubalang yang menjaganya.
    Setelah selesai dari mengerjakan upacara sembah dan puja itu, masing-masing pun keluar meninggalkan berhala-berhala tersebut pulang ketempat masing-masing. Maka sempurnalah sudah perayaan pada hari tersebut.
    Melihat rumah berhala yang telah lengang dari manusia itu, Nabi Ibarahim pun datang seorang diri dengan membawa sebilah kapak, lalu di kapaknya berhala-behala kecil yang berada dikeliling berhala yang paling besar tadi. Ada yang dipenggal kepalanya, ada yang dikerat tangannya, ada yang dipatahkan kakinya, yang tinggal hanyalah berhala yang besar tidak dirosakkan. Kapak yang meranapkan berhala-berhala kecik tadi disangkutkan oleh Nabi Ibrahim dia atas bahu berhala yang besar.

GEMPAR.
Pada keesukan hari, riuh rendahlah dari dalam tempat ibadat itu membawa keseluruh kota. Setiap orang merasa hairan diatas kejadian yang menimpa tuhan-tuhan berhala mareka. Berita tersebut akhirnya sampai kepengetahuan seri maharaja Namrud yang memerintah negeri pada ketika itu. Raja Namrud merasa amat dukacita dan dia bersumpah atas nama berhala yang terbesar bahawa ia akan menghukum dan menyiksa sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan tersebut.
    Maka diperintahkanlah semua rakyat jelata berhimpun kerana hendak menyiasat siapakah yang empunya angkara. Dalam perhimpunan itu berkatalah salah seorang daripada mereka: " Bolehjadi yang merosakkan berhala itu seorang pemuda yang bernama Ibrahim, kerana dia (Ibrahim) tidak percaya kepada tuhan berhala dan ia sangat membenci berhala." Nabi Ibrahim lalu dibawa mengadap Raja Namrud. Bertanya Raja Namrud kepada Nabi Ibrahim; " Adakah engkau yang memusnahkan berhala-berhala kami ini ? " Jawab Nabi Ibrahim; " Bahkan, yang melakukanya ialah berhala yang besar itu ! Lihatlah kapak yang tergalas dibahunya menjadi bukti dia yang melakukannya. Tanyalah dia jika dia boleh memberitahunya. " Raja Namrud menjadi berang sambil berkata kepada Nabi Ibrahim: " Engkau sendiri tahu wahai Ibrahim  !! berhala-berhala itu tidak boleh berkata-kata..!! Mengapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya ??!! " Jawab Nabi Ibrahim; " Ciss..! Alangkah bodohnya kamu semua menyembah berhala yang tidak boleh melihat, mendengar dan berkata-kata !!!! " Dengan jawapan Nabi Ibrahim itu, tahulah Raja Namrud bahawa Nabi Ibrahimlah yang melakukan angkara buruk keatas tuhan-tuhan berhalanya.

NABI IBRAHIM DIHUKUM.
Perintahpun dikeluarkan oleh Raja Namrud, bahawa Nabi Ibrahim akan dibakar. Tibalah masa hukuman akan dilaksanakan, unggunan kayu api yang besar setinggi bukit dinyalakan. Apinya menjulang-julang kelangit. Panasnya tidak terkira. Tubuh Nabi Ibrahim yang telah diikat diletakkan diatas satu tempat (tempat pelempar) lalu dicampakkan kedalam unggun api yang sedang marak menyala itu.

RAJA NAMRUD MENYAKSIKAN.
Semasa Nabi Ibrahim dicampakkan kedalam api, Raja Namrud melihatnya dari suatau tempat yang tinggi yang disediakan untuknya. Alangkah terkejutnya Namrud dan rakyatnya melihat Nabi Ibrahim sedikitpun tidak terjejas oleh api, tidak menjadi abu sebagaimana sangkaan mereka semua, sebaliknya Nabi Ibrahim keluar dari unggun api dengan selamat dan sejahtera.
     Raja Namrud merasa sangat hairan, api bukan sahaja tidak membakar tubuh nabi Ibrahim tetapi juga tidak lansung menjejaskan pakaiannya. Raja Namrud bertanya kepada Ibrahim bagaimanakah api yang sebegitu besar tidak menjejaskan Nabi Ibrahim, lalu dijawab oleh Nabi Ibrahim;
    " Tuanku, api ini tidak akan membakar selagi ia tidak diizinkan oleh Allah, sebagaiman mata pedang tidak memotong dan tidak memutuskan jika belum diizinkan Allah. Begitu juga harimau dan singa yang garang tidak dapat membunuh mangsanya jika belum diizinkan oleh Allah. "
    " Bukankah engkau mahu mencabut nyawa aku tadi ?? tetapi tidak diizinkan Allah, kerana yang menghidup dan mematikan itu adalah kuasa Allah bukan kuasa engkau !! Aku ini adalah pesuruh Allah yang diutuskan untuk kepada engkau, hendaklah engkau beriman !!.
    Bermacam-macam tuduhan yang dilemparkan kepada nabi Ibrahim, ada yang mengatakan dia seorang ahli sihir dan bermacam-macam lagi. Dalam pada itu ada juga yang mempercayai dia benar-benar Nabi dan Rasul yang diutus Allah lalu mereka beiman kepadanya.
   Raja Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: " Wahai Ibrahim !!...keluarlah engkau dari negeri ku ini sebelum rosak hamba rakyat ku kerana mengikut agamamu dan menyembah tuhanmu." Nabi Ibrahim keluar dari negeri Iraq dengan diikuti oleh beberapa orang yang beriman menuju ke negeri Palestin, kemudian ke negeri Syam.


Firman Allah dalam Surah Al An'aam (Binatang Ternak):
(Ayat : 74)   Dan ( ingatlah) diwaktu Ibrahim berkata kepada bapaknya Aazar: " Patutkah kamu menjadikan   berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan ? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaum mu dalam  kesesatan yang nyata."
(Ayat : 76)   Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: " Inilah Tuhanku." Tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia berkata: " Aku tidak suka kepada yang tenggelam."
(Ayat : 77)    Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: " Inilah Tuhanku." Tetapi setelah bulan itu terbenam dia berkata: " Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepada ku, pasti aku termasuk orang-orang yang sesat."
(Ayat : 78)    Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: " Inilah Tuhanku. Ini yang lebih besar." Maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata: " Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan."
Firman Allah dalam Surah Asy Syu'araa' (Para Penyair)
(Ayat : 72)     Berkata Ibrahim: " Apakah berhala-berhala itu mendengar doa mu sewaktu kamu berdoa (kepadanya) ?"
(Ayat : 73)     Atau (dapatkah) mereka memberi manafa'at kepadamu atau memberi mudharat.?
(Ayat : 74)     Mereka menjawab: " (Bukan kerana itu) sebenarnya kami mendapati nenek moyang kami berbuat demikian.
Firman Allah dalam Surah Al Ankabuut (laba-laba)
(Ayat : 24)     Maka tidak adalah jawaban kaum Ibrahim, selain mengatakan: " Bunuhlah atau bakarlah dia." Lalu Allah menyelamatkannya dari api. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang beriman.
       
   





 
 







No comments:

Post a Comment