Wednesday 21 December 2011

BAHAGIAN 2...Soal Jawab Nabi Muhammad s.a.w dengan Iblis 'alaihill la'knah.

Soalan Nabi yg ke 3: Hai Iblis..! kenapa engkau sanggup bersusah payah dan berpenat lelah pada pekerjaan yang tiada berfaedah, bahkan menambah laknat keatas engkau dan sekeras-keras siksa didalam neraka yang paling bawah ?"
Jawab Iblis: " Oleh kerana hawa nafsu, takbur dan khianat itulah yang menceburkan diri hamba kepada sebesar-besar kejahatan. Tuan hamba telah maklum bahawa hamba ini telah beribu-ribu tahun menjadi ketua segala Malaikat berbuat ibadah sujud kepada Tuhan, pangkat hamba telah dinaikan dari satu langit ke satu langit dengan aman dan hamba diam di syurga beribadah bersama-sama Malaikat,  dan patuh kepada Tuhan beberapa lamanya. Maka tiba-tiba Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang khalifah (raja) didalam dunia  iaitulah Nabi Adam a.s.dan memerintahkan hamba serta semua Malaikat memberi hormat kepadanya. Semua para Malaikat-Malaikat itu hormat sujud kepada Adam hanya hamba seorang yang engkar kepada perintah Allah maka hamba dimurkai lalu dihalau serta dilaknat hinggalah kehari kiamat. Wajah hamba yang bercahaya dan cantik telah bertukar menjadi buruk dan hodoh, dengan sebab itulah hamba sakit hati dan sentiasa menaruh dendam kepadanya (Adam). Setelah Allah mengangkat Adam menjadi raja didalam syurga serta dikurniakan pula seorang permaisuri (isteri) iaitu Siti Hawa yang menjadi ketua kepada semua bidadari  disyurga, maka hamba pun menjadi bertambah-tambah  hasad dengki kepadanya. Akhirnya dapat juga hamba memperdaya Siti Hawa supaya memujuk Adam memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah memakannya. Oleh kerana termakan pujukan Siti Hawa Adam memakan buah tersebut lalu mereka berdua dihalau keluar dari syurga turun kebumi, terpisahlah kedua-dua suami isteri itu sehingga beberapa lama. Sampai pada suatu ketika mereka akhirnya dipertemukan oleh Allah disuatu tempat sehingga mereka mendapat beberapa orang anak lelaki dan perempuan. Hamba juga telah menghasut anak lelaki Adam iaitu Qabil supaya membunuh abangnya yang bernama Habil hingga mati, namun hamba tetap tidak berpuas hati lalu hamba berazam dengan berbagai tipu daya untuk menyesatkan anak cucu Adam sehingga hari kiamat. Adapun sebelum tuan hamba lahir ke alam dunia ini, hamba beserta bala tentera hamba naik turun kelangit dengan mudahnya untuk mencuri segala rahsia bahawa manusia yang berbuat ibadah akan mendapat balasan pahala dan syurga, demikian juga mereka yang beribadah larut malam akan mendapat ganjaran pahala yang lebih besar. Hamba membawa perkhabaran tersebut kebumi dengan memutar belit dan bohong sehingga mereka menjadi sesat dengan memegang kitab-kitab yang bidaah dan karut. Setelah tuan hamba lahir kedunia, hamba tiada lagi dibenarkan naik kelangit bagi mendapatkan apa-apa rahsia umat tuan hamba kerana banyak Malaikat-Malaikat yang menjaga pintu tiap-tiap lapisan langit dan jika hamba berkeras juga naik kelangit, maka hamba akan dilontar oleh Malaikat dengan anak panah daripada api yang bernyala-nyala. Banyaklah bala tentera hamba yang terdiri daripada Jin dan Syaitan yang mati terbakar sehingga menjadi abu. Kedatangan tuan hamba telah menghalang hamba dan bala tentera hamba menjalankan tugas2 jahat kerana tuan hamba telah berjaya menarik mereka itu kepada pegangan agama Islam yang benar. "



Sunday 18 December 2011

BAHAGIAN 1.........Soal Jawab Nabi Muhammad s.a.w. Dengan Raja Iblis 'alaihi lla'nat.

Soalan Nabi (1) :  " Hai Iblis..! Siapakah seteru (musuh) engkau yang paling besar ? Bagaimankah dia kepada engkau ? "
Jawab Iblis :  " Ya Nabi Allah, Tuan hambalah musuh hamba yang paling besar dari sekalian seteru hamba yang ada diatas muka bumi ini. " Ya Khotamull 'ambia', adapun hamba ini dapat menukarkan (menyerupai) diri hamba dengan sebarang rupa manusia, binatang dan lain-lain hingga suaranya pun sama tiada lansung berbeza, kecuali sifat tuan hamba sahaja yang hamba tidak dapat menyerupainya, kerana ditegah oleh Tuhan. Sekiranya hamba menjadikan diri hamba seperti tuan hamba, maka terbakarlah seluruh tubuh hamba menjadi abu. Hamba bersungguh-sungguh hendak mencabut 'iktikad (iman) anak Adam supaya menjadi kafir, murtad dan munafik ini disebabkan Tuan Hamba bersungguh-sungguh menyeru mereka (anak Adam) kepada pegangan Agama Islam.Hamba hasut sekalian umat Islam supaya meninggalkan jalan yang lurus dan beralih kejalan yang sesat supaya kesemua mereka masuk ke neraka bersama-sama hamba dan tinggal kekal didalamnya."


Soalan Nabi (2) : " Hai Iblis..!..Bagaimanakah perbuatan mu kepada makhluk Allah."
Jawab Iblis :  " Kejayaan besar bagi hamba jika kaum perempuan merenggangkan kedua pahanya kepada lelaki yang bukan suaminya hingga melahirkan anak (berzina lelaki dan perempuan). Akan hamba goda manusia supaya meninggalkan sembahyang kerana leka dengan makan minum, dan hamba lalaikannya dengan hartabenda daripada emas perak, rumah, kebun, ladangnya supaya hasilnya diperolehi daripada pekerjaan yang haram dibelanjakan kepada yang haram. Telah ramailah  manusia lelaki dan perempuan yang hamba pesongkan imannya lalu hamba kerah segala bala tentera hamba supaya menyesatkan mereka menjadi syirik dan derhaka. Hamba akan berada dimajlis-majlis (hiburan lara) yang bercampur laki-laki dan perempuan. Disini bala tentera hamba sedaya upaya akan menggoda manusia supaya minum arak, dengan demikian akan hilanglah akal serta maruah mereka, hilang malu maka mudahlah bagi hamba membuka pintu-pintu maksiat (kejahatan) yang besar seperti berzina, berhasat dengki, mencuri, merompak, berbunuhan diantara mereka. Apabila mereka teringat untuk bertaubat kembali kepangkal jalan (melakukan amal ibadah), hamba akan menghalanginya, menghasut mereka supaya bertangguh-tangguh hendak mengerjakan ibadah/kebaikan, hamba menggandakan usaha mengheret mereka agar sentiasa didalam perbuatan maksiat. Hamba mengarahkan bala tentera seperti jin dan syaitan menyerap masuk kedalam tubuh badan, apabila telah digoda pada hatinya maka sentiasalah mereka merasa riak, takabbur dan sombong. Apabila digoda pada lidahnya maka sentiasalah mereka suka berdusta, berbohong, mencela, mengumpat, memaki hamun diantara satu sama lain. Demikianlah hamba menghasut mereka itu pagi dan petang, siang dan malam.



KEDATANGAN MALAIKAT MENYURUH IBLIS MENGADAP NABI MUHAMMAD.

Kesah Nabi Muhammad s.a.w. Bersoal-Jawab Dengan Raja Iblis 'alaiihi lla'knah.


Allah s.w.t. telah memerintahkan seorang Malaikat supaya pergi kepada Raja Iblis Syaitan 'alaiihi lla'nah, menyuruh dia supaya mengadap Nabi Mumammad s.a.w. dan mengkhabarkan segala jenis rahsia yang disukainya dan dibencinya. Adapun hikmah dari perintah Allah ini tidak lain bertujuan membesarkan ketinggian darjat Nabi Muhammad s.a.w. dan juga supaya menjadi suatu perisai dan peringatan kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.
     Maka Malaikat pun datanglah kepada Iblis dan berkata: " Hai Iblis..! bahawa Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Besar memerintahkan engkau mengadap kehadrat Rasullullah s.a.w., hendaklah engkau bukakan segala rahsia mu, dan apa2 jua yang disoal oleh Nabi Muhammad s.a.w itu hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya !! Jika engkau berdusta walau dengan satu perkataan sekali pun niscaya diputus-putuskan segala suku-suku anggota mu dan segala auratmu serta disiksa engkau dengan azab yang amat keras !! "
     Demi Iblis mendengar perkataan Malaikat itu, dia merasa sangat dahsyat dan merasa ketakutan, maka dengan segera diapun mengadap kehadhrat Nabi Muhammad s.a.w. dengan menyerupakan dirinya seperti seorang tua yang buta sebelah matanya, berjanggut putih banyaknya 10 helai, dan panjangnya seperti ekur lembu. Sesampainya dia dihadapan Nabi Muhammad s.a.w. lalu ia memberi salam dengan takzimnya sebanyak 3 kali tetapi tidak dijawab oleh Rasullullah s.a.w.


Sembah Iblis: " Ya Rasullullah, mengapakan tuanhamba tidak menjawab ucapan salam hamba ? bukankah ucapan Salam itu sangat mulia disisi Tuhan ?"
Maka Jawab Nabi dengan marahnya: " Hai seteru Allah !!..kepada akukah engkau hendak menunjukkan tipu muslihatmu ?!! Sesuailah wajah engkau dengan perangai engkau itu hendak menipu aku sebagaimana engkau telah menipu Nabi Adam hingga keluar dari Syurga, Habil mati teraniaya  dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Allah Ayub engkau tiupkan dengan asap racun pada masa ia sedang sujud didalam sembahyangnya hingga berapa lama ia menanggung sengsara angkara perbuatan engkau dan kisah Nabi Daud dengan perempuan pahlawan 'Uria, dan nabi Allah Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyerupai dirimu seperti isterinya lalu engkau larikan cincinnya, demikian juga beberapa orang Anbia' dan Pendeta yang telah menanggung sengsara teranianya oleh perbuatanmu yang khianat !!  Hai..Iblis..! sebenarnya ucapan salam sangat mulia disisi Tuhan 'azza wa jalla, hanya salam dari engkau aku tidak mahu menjawabnya kerana Allah mengharamkannya, sedangkan engkau akan dilaknat dan dihumban kedalam neraka. "
Nabi s.a.w. berkata lagi: " Aku sangat mengenali engkau, engkaulah Iblis raja segala Syaitan yang menyamarkan diri. Apakah tujuan engkau datang mengadap aku ini ?"
Maka sembah Iblis: " Ya Nabi Allah...janganlah tuanhamba marah, demi sesungguhnya tuan hamba kekasih Allah. maka tujuan hamba datang mengadap ini adalah dengan izin Allah jua setelah datang seorang malaikat menyuruh hamba mengadap tuan hamba, supaya tuan hamba bertanya apa2 jua tipu muslihat, tipudaya hamba keatas umat tuan hamba, bahkan  sekalian manusia sejak dari nabi Adam hingga kezaman umat tuan hamba, hamba goda, hamba hasut, hamba tipu dan perdaya dengan cara halus agar mereka  terpesong kejalan kesesatan dan binasa."
Raja Iblis lalu bersumpah dengan Nama Allah: "  Ya Nabi Allah....setiap pertanya yang tuan hamba tanya akan hamba jawab satu persatu dengan sebenar-benarnya. Kiranya hamba berdusta walau sepatah kata sekalipun, niscaya akan terbakar hancur leburlah diri hamba menjadi abu."


Maka apabila Nabi Muhammad s.a.w. mendengarkan sumpah pengakuan Raja Iblis itu, baginda pun tersenyum dan merasa amat gembira kerana soal jawab dengan Iblis nanti dapat didengar juga oleh para sahabat yang hadir dimajlis tersebut lebih-lebih lagi ia akan menjadi suatu senjata atau perisai kepada sekelian umatnya sehingga kemudian hari kelak.

IBRAHIM KEKASIH ALLAH DENGAN BERHALA-BERHALA.

BERHALA, BERHALA, BERHALA........
   
     Nabi Ibrahim melihat kaumnya mengukir berhala dan patung daripada kayu dan batu. Berhala-berhala itu menjadi tuhan kepada mereka, tuhan itu dipuja, disembah, dan dimintakan daripadanya berbagai-bagai permintaan. Patung-patung berhala yang bermacam-macam bentuk itu terdapat di tiap-tiap rumah. Nabi Ibrahim berkata didalam hatinya:....
    " Hairan..!!...Kenapalah kaum ku menyembah kayu dan batu..? yang mereka bentuk dan ukir dengan tangan sendiri, sedangkan kayu dan batu itu tidak memberi manafaat dan tidak pula berdaya menolak kemudharatan.."
    " Sayang..!..Kaum ku ini telah sesat didalam kesesatan..!! "
    " Sayang..!  Mereka berakal fikiran, tetapi akal fikiran itu telah terpesong jauh dari kebenaran..!! "


INILAH TUHAN KU.
    Nabi Ibrahim walaupun masih muda remaja namun dia telah tahu bahawa menyembah berhala adalah salah dan satu perbuatan yang amat bodoh, tetapi dia sendiri tertanya-tanya siapakah tuhan yang telah menjadikan langit dan bumi ini ?
    Dengan sebab ini, maka Nabi Ibrahim selalulah duduk bersendirian, mendongak-dongak kelangit sambil mencari ilham dan jawapan siapakah tuhan yang sebenarnya, tuhan yang yang mesti disembah oleh manusia.
    Apabila tiba waktu malam, Nabi Ibrahim mendongak kelangit, dilihatnya bintang-bintang bercahaya bergemerlapan, berkelip-kelip dimuka langit seolah-olah dialah yang maha hebat lagi berkuasa.
    Nabi Ibrahim berkata: " Inilah Tuhanku." Namun seketika kemudian bintang-bintang menjadi malap, bintang-bintang tadi hilang dari pandangan mata kasar. Nabi Ibrahim lalu berkata: " Oh tidak..!! ini bukan Tuhanku, Tuhan ku mesti kekal tidak malap dan tidak hilang."
    Begitu pula, apabila Nabi Ibrahim melihat bulan terang mengambang, ia amat terpesona dengan cahaya bulan yang terang dan sangat indah itu. Ia berkata: " Inilah Tuhan ku..!! " Sebagaimana juga bintang, bulan yang terang tadi bertukar menjadi malap, tiada lagi cahaya yang indah kerana dilindungi awan tebal. Berkatalah Nabi Ibrahim didalam hatinya:.." Oh tidak..!! Ini juga bukan tuhan ku. Tuhan tidak boleh dikuasai oleh sesuatu yang lain...!!"
    Sehinggalah terbit waktu fajar dan matahari mula menyinsing naik menegak menuju ke tengah pusat langit. Dengan cahaya panasnya yang memancar gagah menembusi awan gemawan, menerangi seluruh angkasaraya,
memancar keserata bumi. Melihat keadaan tersebut Nabi Ibrahim pun lalu berkata: " Inilah Tuhanku, Tuhan yang Agung dan Perkasa." Namun....Nabi Ibrahim mula merasa hampa apabila menjelang petang, matahari yang panas dan gagah tadi mulai redup, perlahan-lahan condong dan menurun kearah barat, kepanasannya beransur hilang dan akhirnya cahaya terang  tadi bertukar menjadi gelap gelita. Berkatalah Nabi Ibrahim dengan rasa hampa dan sedih; " Tidak...ini bukan Tuhanku. Tuhan tidak lemah, Tuhan tidak akan malap dan redup, Tuhan tidak akan bertukar-tukar. "

NABI IBRAHIM MENASIHATI BAPANYA.
     Pada suatu hari Nabi Ibrahim melihat bapanya Aazar menyembah berhala. Nabi Ibrahim lalu berkata kepada bapanya: " Apakah batu dan patung ini mesti disembah ? Jawab bapanya: " kami menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami dahulu." Nabi Ibrahim berkata: " Kalau begitu kamu dan datuk nenek kamu yang terdahulu adalah didalam kesesatan yang sangat nyata. Tuhan yang sebenar ialah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, Tuhan yang menjadikan alam ini, Tuhan yang menjadikan sekelian manusia." Nabi Ibrahim berkata lagi kepada bapanya; " Wahai bapa ku, mengapalah kamu menyembah benda-benda yang tidak mendengar, tidal melihat, tidak boleh memberi apa-apa pun. Wahai bapaku, aku telah mendapat pengetahuan yang tidak diketahui orang, ikutlah aku nescaya aku akan membawa bapa kejalan yang benar. Janganlah bapaku mengikut Syaitan kerana Syaitan itu derhaka kepada Tuhan dan ia menyesatkan."
    Bapa Nabi Ibrahim sangat marah kepada Nabi Ibrahim kerana mencabar dan menghina tuhannya dihadapan kaumnya, kerana baginya tiada tuhan lain selain daripada berhala-berhala yang telah disembah sekian lama. Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya:
     TUHANKU >> Dia yang menjadikan aku, Dia yang memberi petunjuk kepada ku, Dia yang memberi rezki makan dan minum kepada ku. Apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkan. Tuhan ku yang mematikan aku, kemudian di hidupkanNya. KepadaNyalah aku memohon supaya diampunkan dosaku di hari kiamat.


PERISTIWA DIHARI RAYA.
   Maka tersebarlah berita diantara kaum-kaumnya bahawa Nabi Ibrahim memusuhi berhala, tidak percaya kepada berhala-berhala dan patung-patung yang menjadi tuhannya. Pada suatu hari raya, hari yang sangat dimuliakan dan dibesar-besarkan oleh kaumnya. Pada hari tersebut pergilah kaum Nabi Ibrahim ke rumah berhala yang dipenuhi patung-patung bermacam berntuk dan rupa. Mereka yang datang ada yang membawa persembahan, ada yang menyembelih kurban dan bermacam-macam perbuatan yang ditunjukkan semata-mata kerana memuja berhala-berhala itu. Ditengah-tengah berhala-behala itu diletakan sebuah berhala yang paling besar, ukirannya sangat cantik, diatas kepalanya dihiasi mahkota berupa tanduk yang ditatahkan dengan batu permata yang amat berharga. Berhala besar tersebut didudukkan diatas sebuah singgahsana yang diperbuat dari emas dan perak, di kiri dan kanannya diapit oleh berhala kecil yang kelihatan gagah perkasa dan garang seolah-olah itulah hulubalang yang menjaganya.
    Setelah selesai dari mengerjakan upacara sembah dan puja itu, masing-masing pun keluar meninggalkan berhala-berhala tersebut pulang ketempat masing-masing. Maka sempurnalah sudah perayaan pada hari tersebut.
    Melihat rumah berhala yang telah lengang dari manusia itu, Nabi Ibarahim pun datang seorang diri dengan membawa sebilah kapak, lalu di kapaknya berhala-behala kecil yang berada dikeliling berhala yang paling besar tadi. Ada yang dipenggal kepalanya, ada yang dikerat tangannya, ada yang dipatahkan kakinya, yang tinggal hanyalah berhala yang besar tidak dirosakkan. Kapak yang meranapkan berhala-berhala kecik tadi disangkutkan oleh Nabi Ibrahim dia atas bahu berhala yang besar.

GEMPAR.
Pada keesukan hari, riuh rendahlah dari dalam tempat ibadat itu membawa keseluruh kota. Setiap orang merasa hairan diatas kejadian yang menimpa tuhan-tuhan berhala mareka. Berita tersebut akhirnya sampai kepengetahuan seri maharaja Namrud yang memerintah negeri pada ketika itu. Raja Namrud merasa amat dukacita dan dia bersumpah atas nama berhala yang terbesar bahawa ia akan menghukum dan menyiksa sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan tersebut.
    Maka diperintahkanlah semua rakyat jelata berhimpun kerana hendak menyiasat siapakah yang empunya angkara. Dalam perhimpunan itu berkatalah salah seorang daripada mereka: " Bolehjadi yang merosakkan berhala itu seorang pemuda yang bernama Ibrahim, kerana dia (Ibrahim) tidak percaya kepada tuhan berhala dan ia sangat membenci berhala." Nabi Ibrahim lalu dibawa mengadap Raja Namrud. Bertanya Raja Namrud kepada Nabi Ibrahim; " Adakah engkau yang memusnahkan berhala-berhala kami ini ? " Jawab Nabi Ibrahim; " Bahkan, yang melakukanya ialah berhala yang besar itu ! Lihatlah kapak yang tergalas dibahunya menjadi bukti dia yang melakukannya. Tanyalah dia jika dia boleh memberitahunya. " Raja Namrud menjadi berang sambil berkata kepada Nabi Ibrahim: " Engkau sendiri tahu wahai Ibrahim  !! berhala-berhala itu tidak boleh berkata-kata..!! Mengapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya ??!! " Jawab Nabi Ibrahim; " Ciss..! Alangkah bodohnya kamu semua menyembah berhala yang tidak boleh melihat, mendengar dan berkata-kata !!!! " Dengan jawapan Nabi Ibrahim itu, tahulah Raja Namrud bahawa Nabi Ibrahimlah yang melakukan angkara buruk keatas tuhan-tuhan berhalanya.

NABI IBRAHIM DIHUKUM.
Perintahpun dikeluarkan oleh Raja Namrud, bahawa Nabi Ibrahim akan dibakar. Tibalah masa hukuman akan dilaksanakan, unggunan kayu api yang besar setinggi bukit dinyalakan. Apinya menjulang-julang kelangit. Panasnya tidak terkira. Tubuh Nabi Ibrahim yang telah diikat diletakkan diatas satu tempat (tempat pelempar) lalu dicampakkan kedalam unggun api yang sedang marak menyala itu.

RAJA NAMRUD MENYAKSIKAN.
Semasa Nabi Ibrahim dicampakkan kedalam api, Raja Namrud melihatnya dari suatau tempat yang tinggi yang disediakan untuknya. Alangkah terkejutnya Namrud dan rakyatnya melihat Nabi Ibrahim sedikitpun tidak terjejas oleh api, tidak menjadi abu sebagaimana sangkaan mereka semua, sebaliknya Nabi Ibrahim keluar dari unggun api dengan selamat dan sejahtera.
     Raja Namrud merasa sangat hairan, api bukan sahaja tidak membakar tubuh nabi Ibrahim tetapi juga tidak lansung menjejaskan pakaiannya. Raja Namrud bertanya kepada Ibrahim bagaimanakah api yang sebegitu besar tidak menjejaskan Nabi Ibrahim, lalu dijawab oleh Nabi Ibrahim;
    " Tuanku, api ini tidak akan membakar selagi ia tidak diizinkan oleh Allah, sebagaiman mata pedang tidak memotong dan tidak memutuskan jika belum diizinkan Allah. Begitu juga harimau dan singa yang garang tidak dapat membunuh mangsanya jika belum diizinkan oleh Allah. "
    " Bukankah engkau mahu mencabut nyawa aku tadi ?? tetapi tidak diizinkan Allah, kerana yang menghidup dan mematikan itu adalah kuasa Allah bukan kuasa engkau !! Aku ini adalah pesuruh Allah yang diutuskan untuk kepada engkau, hendaklah engkau beriman !!.
    Bermacam-macam tuduhan yang dilemparkan kepada nabi Ibrahim, ada yang mengatakan dia seorang ahli sihir dan bermacam-macam lagi. Dalam pada itu ada juga yang mempercayai dia benar-benar Nabi dan Rasul yang diutus Allah lalu mereka beiman kepadanya.
   Raja Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: " Wahai Ibrahim !!...keluarlah engkau dari negeri ku ini sebelum rosak hamba rakyat ku kerana mengikut agamamu dan menyembah tuhanmu." Nabi Ibrahim keluar dari negeri Iraq dengan diikuti oleh beberapa orang yang beriman menuju ke negeri Palestin, kemudian ke negeri Syam.


Firman Allah dalam Surah Al An'aam (Binatang Ternak):
(Ayat : 74)   Dan ( ingatlah) diwaktu Ibrahim berkata kepada bapaknya Aazar: " Patutkah kamu menjadikan   berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan ? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaum mu dalam  kesesatan yang nyata."
(Ayat : 76)   Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: " Inilah Tuhanku." Tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia berkata: " Aku tidak suka kepada yang tenggelam."
(Ayat : 77)    Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: " Inilah Tuhanku." Tetapi setelah bulan itu terbenam dia berkata: " Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepada ku, pasti aku termasuk orang-orang yang sesat."
(Ayat : 78)    Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: " Inilah Tuhanku. Ini yang lebih besar." Maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata: " Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan."
Firman Allah dalam Surah Asy Syu'araa' (Para Penyair)
(Ayat : 72)     Berkata Ibrahim: " Apakah berhala-berhala itu mendengar doa mu sewaktu kamu berdoa (kepadanya) ?"
(Ayat : 73)     Atau (dapatkah) mereka memberi manafa'at kepadamu atau memberi mudharat.?
(Ayat : 74)     Mereka menjawab: " (Bukan kerana itu) sebenarnya kami mendapati nenek moyang kami berbuat demikian.
Firman Allah dalam Surah Al Ankabuut (laba-laba)
(Ayat : 24)     Maka tidak adalah jawaban kaum Ibrahim, selain mengatakan: " Bunuhlah atau bakarlah dia." Lalu Allah menyelamatkannya dari api. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang beriman.
       
   





 
 







Thursday 15 December 2011

KISAH NABI NUH A.S. DAN BAHTERANYA.


NUH A.S. MEMBUAT BAHTERA.


     Pengaduan Nuh telah diterima oleh Allah..." Janganlah engkau berdukacita diatas segala keengganan, degil dan penolakan kaum2 mu, kerana Allah akan karamkan orang-orang kafir. Mereka tidak akan selamat melainkan Nuh dan keluarganya serta orang-orang yang ikhlas mengikut ajaran Nuh." Tuhan menyuruh Nuh membuat sebuah bahtera untuk melepaskan dia dan orang-orang yang mengikutnya daripada bahaya. Nuh pun pergi mencari kayu untuk membina bahtera tersebut, kayu-kayu itu dibelah dan dijadikan papan, lalu kepingan-kepingan papan-papan itu diatur dan dilekatkan hingga terbinalah sebuah bahtera.
     Apabila kaumnya orang-orang kafir melihat Nuh sedang membuat bahtera, mereka mengejek dan mentertawakan dia. Mereka berkata kepada Nabi Nuh: " Hai Nuh..! mengapa sekarang engkau meninggalkan membuat seruan pada kami, dan engkau membuat bahtera pula ? Apakah sekarang ini bertukang kayu lebih menguntungkan dari menjadi Nabi ? " lantas sesetengah yang lain pula berkata: " Semua orang membuat bahtera ditepi sungai atau dilaut, Nuh yang gila ini membuat bahtera diatas darat !! Agaknya lembu akan menarik bahteranya itu..!!" Nabi Nuh a.s. hanya menjawab: " Tunggulah masanya akan tiba dan kamu akan tahu kelak apa yang akan berlaku. Sekarang kamu ketawakan aku, nanti kamu akan dapat balasan diatas perbuatan kamu itu."


BAHTERA SIAP.


Setelah bahtera itu siap, Tuhan memerintahkan Nuh mengisi kedalam bahtera itu jenis-jenis binatang yang ada dimuka bumi ini berpasang-pasangan dan Tuhan menyuruh Nabi Nuh beserta ahli-ahli keluarganya serta orang beriman dengannya naik keatas bahtera.
     Nuh pun menghimpunkan binatang-binatang sebagimana yang Tuhan perintahkan > satu jantan, satu betina dari tiap-tiap jenis seperti gajah, lembu, kucing dan anjing, juga harimau dan singa, burung-burung, ayam, itik, angsa dan lain-lain, tidak ketinggalan juga serangga-serangga yang melata seperti ular, lipan, kura-kura dan sebagainya. Nuh menempatkan binatang-binatang itu kedalam satu petak ditingkat bawah, begitu juga Nuh menyimpan makanan untuk binatang-binatang itu dan menyimpan biji benih segala tumbuhan yang ada dimuka bumi. Setelah itu Tuhan memerintahkan Nabi Nuh menaiki bahtera dengan ahli keluaranya dan pengikutnya yang beriman, naiklah mereka semua melainkan anak dan isteri Nuh tidak ikut bersama. Mereka ingkar dan tidak percaya kepada Nuh. Setelah semuanya naik kebahtera lalu pintu bahtera pun ditutup.
RIBUT TURUN
    Tidak lama selepas itu bertiuplah angin ribut yang terlalu kencang, dunia menjadi gelap gelita, langit hitam kelam, guruh dan halilintar sambar menyambar, hujan turun dengan lebatnya, bumi juga turut menyemburkan airnya. Keadaan menjadi amat menakutkan. Air mulai naik dan naik dan terus naik lalu bahtera mulai terapung dan bergerak.
    Rumah-rumah mulai tenggelam dan tumbuh-tumbuhan mulai rebah. orang-orang yang tidak mengikut, ingkar dan tidak percaya kepada Nabi Nuh bertempiaran lari menuju ke tempat yang tinggi, kebukit dan gunung untuk menyelamatkan diri dari air bah yang besar itu. Diwaktu itu Nuh terlihat anaknya sedang berenang, Nuh berteriak : " Wahai anakku..!.naiklah bersama-sama kami..!" Jawab anaknya: " Aku akan naik kebukit dan akan selamat dari airbah ini." Dimasa itu datanglah segulung ombak yang besar menenggelamkan anak Nuh dan orang-orang yang kafir. Maka hilanglah mereka dari pandangan mata.
BAHTERA NUH BELAYAR.
     Bahtera Nabi Nuh a.s. pun belayarlah ditengah-tengah ombak dan gelombang yang besar, hujan ribut turun tanpa berhenti-henti hingga habis bukit dan gunung yang tinggi, manusia dan binatang tenggelam semuanya melainkan orang-orang diatas bahtera bersama nabi Nuh sahaja yang selamat.
AIR BAH MULAI SURUT.
     Setelah kaum Nuh semuanya karam dihanyutkan oleh airbah yang maha dahsyat itu, hujan pun mulai berhenti, air mulai surut, angin dan ribut mulai reda, matahari mula memancarkan sinarnya. Bahtera Nuh lalu terdampar diatas sebuah bukit bernama ' Al-Judi'. Nabi Nuh a.s. menghantarkan seekor burung merpati untuk mengetahui adakah air telah kering dan bumi boleh diduduki oleh manusia. Tidak lama kemudian kembalilah burung merpati itu dengan membawa bersamanya sebatang ranting yang masih hijau, dengan itu tahulah Nuh bahawa airbah telah surut dan kering lalu Nabi Nuh pun melepaskan binatang-binatang. Kemudian baarulah Nuh keluar beserta ahli keluarga dan orang-orang beriman yang mengikuti bersamanya.
NABI NUH SEDIH.
     Nuh amat merasa sedih dengan kehilangan anak dan isterinya yang ditenggelamkan oleh ombak besar. lalu dia memohon kepada Tuhannya, katanya: " Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya." (Surah Huud ayat : 45)
     Allah menjawab dengan firmanya: " Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkana), sesungguhnya (perbuatan)nya , perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat) nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan." (rujuk Surah Huud : 46)
     Maka Nuh pun tahulah yang dia telah membuat salah sebab anaknya itu kafir. Nuh memohon ampun kepada Tuhannya kerana dia tidak tahu bahawa anaknya yang kafir itu bukan lagi dari kalangan ahli keluarganya. (Rujuk Surah Huud : 47). Allah mengampunkan nabi Nuh a.s. dan Allah berkata kepada Nuh dalam firmannya ( Rujuk Surah Huud : 48).
     Setelah itu Nabi Nuh bersama ahli keluarga serta pengikut-pengikutnya yang beriman memulakan hidup baru. Mereka bekerja dan membina tempat kediaman serta bercucuk tanam dari benih-benih yang dibawa bersama didalam bahtera dahulu. Mereka bertambah ramai dan hidup dengan makmur dibumi ini semula.

Firman Allah didalam Surah Huud ayat 49 :  " Itu adalah berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepada mu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."
   

Thursday 8 December 2011

KISAH DONGENG MERAPU......

KISAH SIPENCURI DENGAN HAKIM KE "RAKUS".


Cerita ini mengisahkan 'hukuman' yang dijalankan secara tidak masuk akal oleh seorang hakim.


Tesebutlah kisahnya dizaman tori (dahulukala): Ada seorang pencuri memanjat tembuk sebuah rumah, manakala sampai ia pada satu tingkap (belum di kopek ) lagi, dengan tidak semena-mena tingkap itu terbuka dan jatuh keatas kaki si pencuri shingga tempanglah kakinya. Pada keesokan harinya berjalanlah sipencuri yang tempang tadi menuju kerumah Gabenor yang bernama 'kerakus'. Tatkala mengadap lalu iapun berkata: 

Sipencuri Tempang:    " Tuan Yang Terutama, sewaktu hamba hendak mengopak/mengumpel tingkap rumah                    
                                    itu tetiba sahaja tingkap itu terbuka dan jatuh keatas kaki hamba lalu patahlah kaki
                                    hamba ini. Sekali pun hamba ini pencuri, hamba tidak bersalah tuan..!!"

Hakim Kerakus:         " Panggil cepat tuan rumah itu..!!..(manakala sampai lalu ditanyalah tuan rumah itu)
                                  " Mengapakah tuan hamba buat tingkap rumah terlalu longgar sehingga pencuri ini
                                    jaatuh..? "

Tuan Rumah:              " Hamba berani bersumpah, hamba telah membayar dengan harga yang cukup kepada
                                   tukang rumah supaya membuat tingkap yang kukuh " (tuan rumah membela dirinya).

Hakim Kerakus:        " Bawa kemari Tukang Rumah cepat..!! (lalu ditanyalah kepada tukang rumah itu)
                                "  Kamu sudah dibayar cukup, mengapa kamu  buat demikian..?? "

Tukang Rumah:         ..dengan ketakutan dan muka yang pucat sambil berfikir..." Tuan Yang Terutama, betul
                                   tingkap itu tidak dipasang sebagaimana mestinya...tetapi hamba tidak bersalah..
                                   sewaktu hamba memukul paku ketingkap itu, seorang perempuan cantek yang berbaju
                                   merah lalu dibawah tingkap itu...hati hamba jadi berdebar-debar dan terpesona kerana
                                   belum pernah melihatnya sehingga bengkoklah paku yang hamba pukul itu..!! "

Hakim Kerakus:        " Panggil cepat perempuan itu..!! " (apabila perempuan itu sampai lalu Hakim pun
                                   berkata) " Jika kamu tidak lalu dibawah tingkap itu dengan berbaju merah, tentu ting-
                                   kap itu dipaku dengan kuat dan tidak jatuh menimpa kaki sipencuri hingga tempang..!"

Perempuan:              " Kecantikan hamba telah di anugerahkan oleh Allah, adapun baju merah itu bukan salah
                                  hamba, kerana tukang celuplah yang membuatnya lalu teringin hamba membelinya.

Hakim Kerakus:       " Bawa kemari Tukang Celup tu..!! lalu Hakim pun bertanya; " Mengapa engkau celup
                                  kain itu dengan warna merah..?.Kerananya rosak hati Tukang Rumah yang membawa
                                  kepada tempang kaki sipencuri.."

Tukang Celup:          ...Tukang Celup yang malang itu jadi tergamam dan tergagap-gagap ketika menjawab.
                                 Berbagai alasan yang diberikan namun tidak diterima oleh Hakim Kerakus.

Hakim Kerakus:       " Tangkap Tukang Celup ini..!! bawa keluar..!!...dan gantungkan dipintu  penjara itu..!!
                                   (Hakim mengarahkan askar-askarnya menghukum si Tukang Celup)

Hendak dijadikan cerita, kebetulan Tukang Celup itu pula luarbiasa tinggi tubuhnya ketika hendak digantung oleh askar-askar tersebut, lalu salah seorang berlari mengadukan kepada Hakim sambil
berkata:


 Askar:                   " Tuan..! Tuan..!!..Tukang Celup itu terlalu tinggi, tidak boleh hendak digantunglah tuan..!!

Hakim Kerakus:     " PERGI CARI TUKANG CELUP YANG PENDEK CEPAT...!!

MAKA ASKAR-ASKAR PUN DENGAN KELAM KABUTLAH MENCARI TUKANG CELUP YANG PENDEK, MANAKALA DIJUMPAINYA LALU DITANGKAPLAH DAN DIHUKUM GANTUNGLAH SAMPAI MATI................

Maka terselamatlah Tukang Celup yang tinggi tadi, sambil keluar dari penjara tersebut dia memikirkan kebodohan si Hakim Kerakus sambil ketawa besar......HAAAHHAAAHHAAAAA....KEEEHKEEHHH....KIKIKIIIIIIHHHH............!!!!!!!!!!!!



                   

                                 
                           

Sunday 4 December 2011

KATA-KATA HIKMAT..(Saidina Ali Karaamallah hu wajhah)

KAYA dirantau orang itulah WATAN,
MISKIN dinegeri sendiri itulah DAGANG.

SEBAIK-BAIK KERJA KEBAJIKAN:>>
PEMURAH KETIKA KESEMPITAN, BERCAKAP BENAR KETIKA MARAH,
MEMAAFKAN KESALAHAN KETIKA BERKUASA MENGHUKUMNYA.

BODOH ITU KECIL WALAUPUN DIA TUA
BIJAK ITU BESAR WALAUPUN DIA MUDA.